Kamis, 05 Februari 2015

Tinggalkan New Boyz - Jay beri komen

PENARIKAN diri Jay, Along dan Lan daripada kumpulan New Boyz bukan sahaja mendukacitakan peminat di seluruh negara, malah mereka sendiri sedih dengan perpisahan tersebut.
Jay yang bertindak sebagai gitaris New Boyz, ketika dihubungi berkata, jauh di sudut hatinya memang dia tidak ingin bercerai dengan New Boyz.
Namun apakan daya dia sudah tidak mampu untuk meneruskan perjuangan dengan New Boyz yang sudah memasuki usia lima tahun itu.
Jelas Jay, sudah lama dia memendam duka, tapi kerana sayangkan kumpulan New Boyz, dia cuba juga bertahan. Namun semenjak awal tahun ini, Jay sudah tidak mampu membohongi hatinya.
Sehubungan itulah Jay tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, mengambil keputusan untuk keluar daripada New Boyz yang kini hanya kekal dianggotai oleh Tomok (vokalis) dan Zack yang bertindak sebagai pemain bass.
``Apa yang boleh saya jelaskan di sini bahawa saya tarik diri daripada kumpulan itu kerana saya merasakan perjuangan kami sudah berbeza,'' kata Jay.
Jay diminta mengulas kenyataan Tomok tentang penarikan diri Along, Lan dan Jay daripada New Boyz yang disiarkan Utusan Malaysia pada Rabu lalu.
``Bagaimanapun, saya tidak pernah mempengaruhi Along atau Lan untuk ikut langkah saya. Mereka buat keputusan sendiri. Pada saya buat apa saya meneruskan perjuangan bersama New Boyz seandainya matlamat kami berbeza,'' kata Jay yang bercadang untuk meneruskan kegiatan sebagai pemuzik undangan sebelum menubuhkan kumpulan sendiri.
Jay yang merupakan adik kepada Along, menolak dakwaan yang mengatakan penarikan dirinya dan rakan lain daripada kumpulan itu disebabkan masalah disiplin.
Katanya, setiap anggota ada masalah sendiri dan selalunya ia akan diselesaikan bersama. Bagaimanapun masalah dalaman yang dihadapi oleh anggota New Boyz tidak pernah selesai.
Meskipun sudah keluar daripada New Boyz, Jay masih mengekalkan hubungan persahabatan dengan rakan-rakan lain.
Sementara itu Utusan Malaysia juga berusaha menghubungi Lan dan Along untuk meminta komen, tetapi tidak dapat dihubungi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar